Anai-Anai Sebagai Makhluk Perosak,YE KE??

Apabila anai-anai menjadi makhluk perosak, ia boleh menyebabkan banyak kerosakan kerana ia hidup dalam koloni-koloni besar yang mengandungi banyak ahli.

Anai-anai juga mungkin menyerang lebih daripada satu rumah. Ia juga boleh menyerang bahagian atas bangunan-bangunan berbagai tingkat. Ini menyebabkan kerosakan pada kayu di dalam rumah, tiangtiang kayu, pagar-pagar, kayu landas kereta api, dan plastik yang digunakan untuk menebat wayar elektrik. Sesetengah spesies boleh merosakkan atau membunuh pokok-pokok tanaman dan pokok-pokok lain.

Spesies anai-anai yang paling bersifat memusnah di Malaysia adalah daripada sekumpulan yang dinamakan “Coptotermes.” Sarangnya terletak di bawah tanah.

Anai-anai memasuki rumah melalui rekahan-rekahan pada dinding atau lantai atau melalui pembuluh pembuluh elektrik dan paip-paip air di dalam dinding. Anai-anai boleh bergerak di dalam bangunan melalui celah-celah di belakang jubin dinding, panel, dan rangka pintu dan tingkap. Anai-anai membina laluan atau landasan yang diliputi tanah apabila bergerak di kawasan yang terbuka.

Kehadiran anai-anai selalunya tidak disedari sehingga banyak kerosakan yang berlaku kerana anai-anai tidak memakan bahagian luaran sesuatu barangan agar ia tidak kelihatan. Bahagian dalaman sesuatu barangan yang telah dimakannya akan dipenuhi dengan tanah atau bahan kayu yang separuh cerna (“karton”).